E-Book

Google+ Followers

Friday, August 12, 2016

Pokomen Wut Wut

Zaman awal kanak-kanak aku dimulai dengan memulakan hidup di Bangsar.
Bunyi macam hipster sangat kan?
Kecik-kecik dah duduk Bangsar. Tapi itulah realitinya. Bukan setakat duduk di Bangsar, malah aku jugak tak duduk rumah atas tanah. Duduk kondominium tau.

Ok, sebenarnya masa kecik dulu, nenek dengan atok yang jaga kami adik-beradik masa mak dan abah pergi kerja. Rumah diorang memang kat Bangsar. Memang atas angin. Dekat Flat Sri Pahang.

Aku sangat suka duduk sana, cool ok bila dapat lepak dekat beranda, dihembus angin, dekat dengan awan, sambil tengok manusia kat bawah. Dari tingkat 13, memang nampak manusia sebesar semut je. Kalau nasib diorang kat bawah tu baik, aku akan baling air atau kertas atau pembalut aiskrim atau sepit baju nenek aku. Perasaan seorang kanak-kanak umur 5 tahun bila manusia semut kat bawah tu pandang atas dan jerit, sangat amazing.

What? Baru 5 tahun ok masa tu, chill lah. Oh itulah puncanya nenek dan arwah atok selalu rotan aku dengan tali pinggang. Eheh.

Gambar bukan hak aku

Memang banyak kenangan sepanjang aku membesar dekat sini. 
Nantilah, aku cerita satu persatu kalau aku rajin.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

~Circa 1993~

Aku memang perasan, nenek kurang bercakap haritu.
Dia akan berbunyi masa nak marah aku dengan adik aku je, si Nyonyey tu.
Sekejap-sekejap nenek akan berdehem, sambil picit-picit tekak dia.

Sambil dia tumbuk cili, dia berdehem.
Sambil sidai kain, dia berdehem.
Sambil bersembang dengan Tokmah rumah sebelah melalui beranda pun, dia berdehem.

Berdehem, batuk. Berdehem, batuk, meludah.

Pendek kata, sebenarnya agak ketara juga nampak yang nenek aku pada hari itu, tekaknya sakit.

Arwah atok aku pula, lepas jemput aku balik sekolah tadi, dia turun ke bawah. 
Biasalah, muzakarah buluh. Ada masa senggang, arwah atok akan turun lepak bawah pokok buluh yang rimbun dekat bawah tu, dengan geng dia yang terdiri daripada atok-atok orang lain.

Aku dengan adik aku?
Biasalah, kalau tak main sama-sama, kami akan bersepak terajang yang selalunya dia akan menang, sebab nenek aku menangkan, dengan cara memarahi aku sampai aku menangis. 


"Nie, kau tolong nenek pergi kedai kejap. Kau pergi kedai Suraya tu, kalau tak ada, kau pergi kedai India tu, kalau takda jugak, tengok kat kedai Hasan hujung tu"

Aku selaku kanak-kanak yang baru nak up, bila diberi kepercayaan untuk pergi kedai, haruslah bangga. Dengan laju, aku berdiri.



"Nak ikut jugak", adik aku menyibuk. Mula-mula rasa nak marah, lepas tu bila fikir balik, ok jugak kalau mamat ni ikut. Ada kawan.


"Beli apa?", sambil aku tengok nenek aku korek duit dari purse dia.

Nenek hulur note RM5 kat aku.

1993, RM5 masih besar jumlahnya ok!
Aku ingat lagi masa ni, aku tolong belikan suratkhabar, 70 sen je harganya.
Jadi, terus masukkan RM5 dalam poket. Tangan pulak, pegang poket. Risau duit ni tercicir, mati nak ganti, fikir otak naif aku masa tu.


"Kau cakap kat Pakcik Man tu, nenek nak beli Pokomen Wut Wut"

1. Nenek aku agak popular, sebab mana-mana aku pergi dengan dia, mesti dia akan bersembang. Bersembang mestilah dengan orang yang kenal dia kan? Sebab tu dia selamba suruh mention 'nenek nak beli', Pakcik Man sahih kenal nenek aku siapa.

2. Tapi memang dia popular. Mana-mana aku pergi sekitar Flat Sri Pahang tu, mesti ada orang akan cakap, "Ni cucu Eton kan?"


Ok berbalik pada Pokomen Wut Wut.

Lepas tu, aku pun bawak adik aku yang baru berusia 3 tahun tu turun ke tingkat 12. Sebab masa ni, lif kat flat tu tak berhenti kat semua aras. Dia dalam gandaan sifir 4. Sedikit sebanyak sistem DBKL buat tu membantu aku hafal sifir 4, walaupun sampai 16 je. Ye lah, flat pun ada 16 tingkat je.

Sampai tingkat 12, tunggu lif dalam 2-3 minit, lif pun sampai.
Maka turunlah aku dan Nyonyey ke bawah. 
Gelap, berangin, dan ada nenek-nenek yang berlari-lari anak ke arah lif.
Hari nak hujan rupanya.


"Kita kena cepat, nanti kalau hujan, nenek marah"

Nampak tak betapa takutnya aku dengan nenek. Kalau hujan, aku basah tanpa sengaja, pun aku takut nenek akan marah.

Adik aku angguk, dan kami berpimpin tangan berlari ke kedai Suraya.
Sesampainya kat kedai tu, aku terus menerpa ke arah sosok yang memang aku tahu, dialah Pakcik Man.


"Pakcik, nenek nak beli Pokomen wut wut", penuh keyakinan. Adik aku pun angguk beria.
Walaupun zaman kami kecil ni masih belum ada lagi watak Pokemon, kami amat yakin, Pokomen wut wut ni mesti sesuatu yang menarik. Gila cool nama dia, Pokomen Wut Wut. Cuba korang sebut, Pokomen. Wut. Wut.

Coolio wey! Curiousity tinggi melangit nak tahu apakah yang nenek suruh beli ni, sangat rare item!


Pakcik Man membetulkan kedudukan cermin mata dia sambil dia berdiri.
Kelihatan muka dia sedikit berkerut.

"Pokomen Wut Wut? Apa tu ye? Makanan ke, barang ke?", eh Pakcik Man ni, dia tanya kita pulak.

Bila dia tengok aku dan adik aku pun tak ada jawapan, dia terus kata tak ada. Dia suruh tanya kedai lain.


Ala, frust pulak. 

Maka kami pun pergi ke semua kedai yang bukak di blok 1 tu.
Dan, jawapannya semua sama. TAK ADA.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Hari dah start hujan renyai.
Misi aku dan nyonyey masih belum berjaya.

Tak cool langsung semua kedai blok 1 ni, langsung tak jual Pokomen Wut Wut.
Otak budak 7 tahun aku ligat berfikir. Kalau tak beli, nanti sampai sudah kami tak tau apakah bendanya Pokomen Wut Wut tu. 

"Jom pergi kedai adik Pakcik Man pulak, kat blok 3", aku ajak nyonyey. Dia angguk je tanpa bantah, aku syak adik aku pun dah penat dan sejuk kena angin dan tempias.

Maka dari blok 1, kami berlari meredah hujan ke blok 3.
Nawaitu tetap sama, nak beli Pokomen Wut Wut.
Oh ya, nenek kata Pakcik Mat tu adik Pakcik Man. Aku percaya sebab muka diorang lebih kurang, cuma Pakcik Mat gelap sikit dari Pakcik Man.

Masa sampai di kedai Pakcik Mat, kami dah basah sikit.
Aku tanpa berlengah, terus tanya Pakcik Mat, kedai ni ada jual Pokomen Wut Wut tak?

Masih reaksi yang sama.
Jawapan yang sama, tak ada.


Agaknya Pakcik Mat kesian dekat aku dan adik aku yang dah basah, lagipun nanti nak balik blok 2, kena lalu hujan lagi, Pakcik Mat pun hulur gagang telefon dekat aku.

"Ingat tak nombor telefon rumah nenek? Cuba tanya nenek lagi sekali, betul ke nama benda tu macam tu"

Aku terus capai gagang, sambil sebutkan nombor telefon rumah nenek yang memang mak aku paksa suruh hafal, supaya Pakcik Mat boleh dailkan.

"Apa yang tak balik-balik lagi? Hari hujan ni? Kau kat mana? Adik kau ada tak tu?", bertalu-talu nenek aku bercakap sebaik aku cakap Hello.

Aku pun jawab apa yang patut, dan bagitau dia semua kedai tak ada jual Pokomen Wut Wut. Aku tak tanya pulak Pokomen Wut Wut tu apa. Mungkin sebab aku lupa lepas kena bebel berdas-das tadi.

"Dah, balik sekarang", nenek memberi arahan di corong telefon.

Aku pun cakap terima kasih kat Pakcik Mat, tarik tangan adik aku keluar kedai, lari redah hujan pergi blok 2, nak balik.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Lepas tukar baju kami dua beradik, nenek masih batuk-batuk.
Kesian pulak aku tengok dia.
Nampak dia selongkar beg tangan dia, keluarkan bungkusan putih yang dah kedut-kedut.
Dari bungkusan tu, dia keluarkan sebiji gula-gula, masukkan dalam mulut sambil berdehem-dehem dan memicit leher dia. Bungkusan putih renyuk tadi dia letak atas lantai, dan ratakan.

Aku dan adik aku tengok je.
Masing-masing dah penat nak bercakap.


Nenek angkat bungkusan tu, tunjuk kat kami berdua.

"Ini hah yang aku suruh korang beli tadi. Takkan la satu kedai pun tak jual. Nampak gayanya aku jugak kena turun beli kejap lagi"

Aku pun mengensot sikit mendekati nenek, aku capai bungkusan kecil tu.
Dengan ilmu mengeja yang aku dah ada dari umur aku 4 tahun, aku pun baca perkataan yang tertera kat bungkusan tu.

"Woods'. Peppermint Lozenges"




"Ini ke Pokomen Wut Wut tu?"

Nenek angguk sambil terbatuk-batuk.


Lepas tu aku punyalah gelak terbahak-bahak. Kenapa Pokomen nenek?? Allahu..

"Oh, sebut dia peppermint ke? Aku tak ingat pulak nak tengok nama dia tadi", dengan naifnya nenek aku jawab.


Nenek oh nenek... I love you so much!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...